Sunday, July 12, 2009

15 penduduk tepi Sungai Air Itam dibantu


Dilaporkan di Sinar Harian 9 Julai 2009.

15 penduduk tepi Sungai Air Itam dibantu

AIR ITAM – Masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 15 penduduk berhampiran Sungai Air Itam akan diselesaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

ADUN Air Itam, Wong Hon Wai berkata, beliau dan JPS sedang mencari beberapa langkah mengatasi masalah banjir yang dihadapi penduduk selama beberapa tahun.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada penduduk mengenai kejadian banjir kilat sedalam 0.61 meter pada 8 Julai bermula jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

“Terdapat dua faktor terjadinya kejadian banjir pada malam tadi iaitu bacaan air hujan yang melebihi iaitu sebanyak 97.5 mililiter dan berlakunya air laut pasang yang bermula pada jam 10 malam.

“Namun, saya difahamkan banjir pada kali ini kurang teruk berbanding pada tahun lalu berikutan beberapa langkah pencegahan telah diambil JPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan kawasan banjir di Jalan Zoo bersama Penolong Jurutera Daerah Timur Laut, Mohd Fadzli Nor, ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Air Itam, dan penduduk Jalan Zoo Air Itam.

Terdapat 30 rumah penduduk di Jalan Zoo dan hanya 15 rumah yang sering kali terjejas akibat banjir kilat setiap tahun kerana dibina berhampiran Sungai Air Itam.

Menurut maklumat daripada penduduk, kerugian mencecah RM5,000 bagi setiap sebuah rumah apabila berlakunya banjir kilat dan pada tahun ini hanya RM1,000 sahaja kerugian dilaporkan berikutan banjir kilat yang kurang teruk.

Pada 8 Julai 2009, hujan lebat yang bermula sejak jam 6 petang menjejaskan beberapa kawasan dalam Air Itam termasuk, Kampung Masjid Jalan Zoo, Taman Thean Theik dan Masjid Negeri.

Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, terdapat dua projek yang dijalankan JPS bermula pada 2008 untuk mencegah masalah banjir di kawasan Air Itam.

Katanya, antara projek berkenaan ialah projek meluruskan tebing sungai untuk membenarkan air sungai berjalan lebih laju dan kedua ialah projek membina tembok parit Lumba Kuda.

“Setakat ini projek tersebut masih belum siap namun ia sedikit sebanyak mengurangkan masalah banjir berkenaan,” katanya.

Hon Wai juga memaklumkan beliau dan JPS akan berbincang pelbagai langkah lain untuk mengelakkan kejadian banjir lebih kerap berlaku.

Antaranya ialah mendalamkan kawasan sungai serta melebarkan tebing-tebing supaya dapat menampung lebihan air apabila berlakunya hujan lebat.

Hon Wai selaku ADUN kawasan juga menasihatkan agar penduduk Air Itam memberi kerjasama di antara satu sama lain bagi menyelamatkan harta jiran sekiranya didapati jiran mereka tiada di rumah apabila banjir kilat.

No comments: